Sukan SEA: Medan Khe Wei, Vivian pulih maruah
Penulis Jemputan
July 26, 2017 12:44 MYT
July 26, 2017 12:44 MYT
Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bukan sekadar penyelamat karier masa depan buat pemain beregu wanita badminton, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, sebaliknya turut melibatkan maruah negara.
Vivian dan Khe Wei memiliki sejarah unik dalam Sukan SEA selepas membuat kejutan menjuarai saingan di Myanmar 2013 sebelum tewas di tangan rakan sepasukan di Singapura dua tahun kemudian.
Pengalaman mereka dalam temasya dwitahunan itu tidak perlu diragui meskipun dibelenggu krisis prestasi selepas Sukan Olimpik Rio 2016.
"Ketika beraksi di Myanmar, tiada siapa melihat kami sebagai beregu pilihan dan di Singapura, ia merupakan sasaran kami untuk meraih pingat emas tetapi tewas kepada satu lagi beregu negara, Amelia Anscelly-Soong Fie Cho," kata Vivian.
"Kali ini, tekanan yang lebih tinggi berbanding dua edisi sebelum ini," tambahnya.
Bagi Vivian, dia melihat aksi dalam temasya Kuala Lumpur 2017 dari sudut positif bersandarkan apa yang diraih di Myanmar dan yang dipelajari di Singapura.
Mereka juga sedang mencari keyakinan beraksi di gelanggang kompetitif sejak dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan bermula hujung Jun lalu.
"Kami tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas Terbuka Indonesia. Saingan di Australia membenarkan kami untuk kembali mencari rentak bagi menghadapi Sukan SEA," katanya.
Vivian dan Khe Wei dijadualkan beraksi dalam GP Emas Terbuka New Zealand bermula 1 Ogos ini.