Sukan SEA Kemboja: Skuad hoki negara tepati ramalan peroleh pingat emas

Ammar Hakim
May 16, 2023 09:34 MYT
Skuad hoki lelaki negara meneruskan dominasi di pentas Asia Tenggaara apabila memenangi pingat emas selepas menewaskan Singapura 3-0 dalam aksi final, sebentar tadi.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, Malaysia turun selaku pasukan pilihan bermula dengna langkah kanan apabila memperoleh pukulan sudut penalti di awal permainan namun ketangkasan penjaga gol Singapura, Wee Wei Xuan, menafikan usaha Malaysia.
Peluang Malaysia membuka tirai jaringan terhasil menerusi dua lagi pukulan sudut penalti pada minit kedua dan kelima oleh pengadil namun gagal disempurnakan.
Malaysia meningkatkan rentak permainan sejurus perlawanan bersambung dalam suku kedua dengan misi mendapatkan jaringan pembukaan dan percaturan itu berhasil apabila mendapat satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-16.
Pukulan sudut penalti keempat negara akhirnya menghadirkan kegembiraan apabila disempurnakan Muhammad Amirul Hamizan Azahar yang membenarkan pasukan bimbingan Muhamad Amin Rahim mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Singapura berusaha untuk menghadirkan permainan yang lebih kemas dengan hasrat untuk menyamakan kedudukan.
Sebaliknya, Malaysia yang berjaya menggandakan jaringan apabila mendapatkan penalti strok selepas pemain Malaysia, Shahmie Irfan Suhaimi dijatuhkan dalam kawasan D.
Amirul Hamizan menggunakan peluang terbaik untuk sekali lagi menewaskan Wei Xuan pada minit ke-38.
Gol ketiga pasukan berjaya terhasil dalam suku akhir menerusi gol padang Alfarico Lance Liau Jr.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas hoki padang tidak dipertandingkan pada 2019 di Filipina dan Hanoi 2021.

Temasya Sukan SEA Ke-32 : Kategori Lelaki Penentuan Pingat Emas (Selasa - 16 Mei 2023) MASA PENUH Malaysia 3-0 Singapura 16' PC Muhammad Amirul Hamizan Azahar 38' PS Muhammad Amirul Hamizan Azahar 48' FG Alfarico Lance Liau Jr *MALAYSIA MEMBAWA PULANG PINGAT EMAS! pic.twitter.com/8q24UpF1fB

— MHC (@hockeymalaysia) May 16, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, skuad hoki wanita negara memastikan kejuaraan berganda buat Malaysia dalam acara hoki padang apabila memenangi pingat emas, kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menewaskan Thailand 4-1 pada aksi final.
#Hoki #Malaysia #Sukan SEA #Singapura