BADMINTON

Sukan SEA: BAM perlu rangka percaturan

Stadium Astro
Penulis Jemputan
03/06/2017
11:51 MYT
Sponsor Banner
Sukan SEA: BAM perlu rangka percaturan
Kejohanan Dunia atau Sukan SEA Kuala Lumpur?
Dilema yang membelenggu skuad badminton negara itu berupaya menjadi pemisah di antara cerita kejayaan atau kegagalan Malaysia di pentas dunia, juga sebagai tuan rumah bagi temasya yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.
Mungkin sudah tiba masanya barisan generasi masa depan badminton negara memikul tanggungjawab memacu misi Kita Juara.
Edisi Singapura 2015 wajar disifatkan sebagai kebangkitan badminton negara di pentas Asia Tenggara.
Malaysia menamatkan kempen dengan dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa -- antara pencapaian terbaik selepas Kuala Lumpur 2001.
"Kita meraih lapan medal di Singapura, ia pencapaian terbaik Malaysia sejak 1977.
"Saya berharap kempen di Kuala Lumpur ini, kami dapat sekurang-kurangnya menyamai pencapaian 2001.
"Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah," kata Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.
Ketiadaan juara bertahan perseorangan lelaki, Chong Wei Feng, yang sudah bergelar pemain profesional menyaksikan Iskandar Zulkarnain Zainuddin bakal memikul tanggungjawab berat dalam ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang beraksi dalam Kejohanan Dunia.
"Saya lebih suka dengan tekanan kerana mempunyai banyak kelebihan bermain di tempat sendiri.
"Saya harap penyokong Malaysia akan memberikan sokongan untuk meniupkan semangat kepada pemain," ujar Iskandar.
Antara dua gangsa daripada Singapura 2015 hadir daripada bintang remaja negara, Goh Jin Wei. Kini, selepas dua tahun, dia mempunyai pengalaman yang lebih luas di pentas senior.
Malaysia memandang kepada Jin Wei untuk mencipta pencapaian lebih membanggakan.
Beregu wanita juga tersenarai dalam misi mempertahankan pingat emas, namun Malaysia kehilangan pengaruh juara bertahan, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.
Apakah Malaysia akan menaruh harapan kepada juara Sukan SEA 2011, Vivian Hoo Kah Mun--Woon Khe Wei, atau meletakkan kepercayaan kepada bekas jaguh remaja, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan?
Malaysia begitu hampir menggapai emas di Singapura menerusi acara beregu campuran, tetapi skuad negara tidak lagi bergantung kepada satu beregu senior.
Goh Soon Huat-Shevon Lai dijangka menjadi taruhan negara negara di samping Chan Peng Soon yang akan bergandingan dengan pasangan muda berikutan ketiadaan Goh Liu Ying yang terpaksa berehat panjang.
Beregu lelaki merupakan kebanggaan tradisi di samping skuad perseorangan. Tetapi sejak kejayaan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2003, Malaysia kempunan emas acara ini.
Ketiadaan beregu terbaik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang akan ke Kejohanan Dunia bermakna Malaysia perlu memandang kepada bakat muda.
Antaranya, beregu meningkat naik, Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei, yang memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan.
"Acara berpasukan sentiasa menghadirkan perasaan yang bercampur-baur.
"Tekanan sudah pasti dirasai kerana perlu meraih kemenangan kerana menggalas harapan rakyat," ujar Frost lagi.
Secara keseluruhan, tujuh emas ditawarkan, termasuk dua daripada berpasukan lelaki dan wanita.
Bukan mudah untuk mengimpikan Malaysia menyapu bersih semua emas tetapi tidak bermakna keajaiban itu sesuatu yang mustahil.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video