Sukan Olimpik Tokyo: Chong Wei bocor rahsia Chen Long ubah corak permainan

Shaiful Shamsudin
July 12, 2021 21:55 MYT
Bekas perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, menuntut prospek baru badminton negara, Lee Zii Jia, melunaskan dendam kekalahannya kepada penyandang pingat emas Sukan Olimpik, Chen Long, seandainya mereka bertemu dalam pusingan 16 terbaik kelak.
Lebih menarik, Chong Wei sendiri mendapatkan maklumat daripada "orang dalam" kem China tatkala kelibat Chen Long dianggap misteri kerana sudah setahun setengah tidak muncul dalam sebarang pertandingan antarabangsa.
Jaguh Siri Super itu -- yang dikecewakan oleh lawan sama dalam penentuan kejuaraan lima tahun berlalu -- secara peribadi membuat risikan apabila cuba mengorek rahsia Chen Long melalui bekas jurulatihnya sendiri, Li Mao, yang kini menjadi barisan kem China.
Berdasarkan ramalan dalam acara perseorangan, Zii Jia dijangka tiada menghadapi masalah untuk melepasi Kumpulan M, sementara Chen Long dijangka akan turut menjuarai Kumpulan N untuk mereka mengadakan pertemuan di peringkat awal kalah mati.
Prestasi pemain China itu dianggap misteri kerana sejak kali terakhir Zii Jia menundukkannya dalam separuh suku akhir Seluruh England 2020, dia langsung tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.
Sebaliknya, kelibatnya hanya dikesan ketika beraksi dalam acara tempatan, Kejohanan Kebangsaan China, April lalu.
"Daripada segi kepantasan dan kekuatan, dia (Chen Long) kalah kepada Zii Jia.
"(Hasil pertemuan mereka) bergantung kepada (sejauh mana) taktikal mereka dalam pertarungan hari itu.
"Sudah setahun lebih saya tidak tengok Cheng Long beraksi. Melalui satu kejohanan tempatan terakhir yang disertainya sebelum ini, saya lihat permainannya tidak lagi seperti dulu, taktikalnya amat berbeza, mungkin kemahirannya lebih banyak meningkat.
"Saya sering bercakap dengan Li Mao berhubung program (yang dilaksanakan) di China," kata Chong Wei dalam perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri, hari ini.
#badminton #chong #Lee Zii Jia #Wei #Lee #Chen #Long #Sukan Olimpik Tokyo:
;