Sukan Olimpik Paris: Mampukah kem badminton butir emas pertama negara?
Muzaffar Musa
June 20, 2024 17:57 MYT
June 20, 2024 17:57 MYT
Debaran Sukan Olimpik Paris 2024 bermula bulan depan kian terasa dengan antara harapan negara disandarkan kepada kem badminton.
Pingat emas pertama negara masih belum muncul menerusi mana-mana acara sukan sejak kali pertama temasya itu diperkenalkan secara rasmi di Athens, Greece pada 1896.
Persoalannya, mampukah badminton menjadi sukan pertama merealisasikan mimpi indah itu menerusi pingat emas bermakna negara dalam edisi di Paris tahun ini.
Gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, sedia menyahut cabaran Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakarian, yang melaungkan keyakinan skuad badminton negara mampu mencipta sejarah paling gemilang meraih emas pertama yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia di Paris nanti.
Tiada pilihan, tiada alasan.
Faktor tekanan dan gugup di atas gelanggang bukan lagi alasan untuk mereka gagal membawa pulang pingat ke tanah air.
Positifnya, kedua-dua beregu negara itu optimis mereka mampu menggapai kejayaan itu di bumi Paris.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, Thinaah berkata: "Saya fikir ia adalah satu perkara positif buat kami kerana ia merupakan kali pertama kami beraksi di pentas Sukan Olimpik.
"Jadi, kami teruja untuk turun ke gelanggang dan memberikan aksi terbaik."
Pearly menambah: "Dalam kejohanan terakhir, saya rasa kami sudah mendapatkan semula rentak terbaik.
"Sewaktu latihan juga, kami sentiasa mengingatkan sesama sendiri tentang apa yang terbaik mampu kami hasilkan di dalam gelanggang.
"Kami kini lebih berkomunikasi dan segalanya tampak baik."
Dalam pada itu, beregu lelaki, Wooi Yik, enggan menjadikan sasaran itu sebagai bebanan dengan berkata: "Sasaran seperti itu sudah biasa diletakkan ke atas kami, jadi kami sudah terbiasa.
"Tetapi bagi diri kami sendiri, kami sedar setiap beregu yang akan bertanding memiliki peluang sama rata.
"Kami hanya mahu melakukan yang terbaik dalam Sukan Olimpik ini dan enggan terganggu dengan bebanan yang besar."
Turut senada, Aaron, yang mengakui mereka perlu cepat membiasakan diri dengan suasana di venue pertandingan: "Sukan Olimpik kali ini berbeza dengan edisi Tokyo 2020 kerana sewaktu itu PKP (Perintah Kawalan Keselamatan).
"Jadi kami perlu bersedia untuk satu situasi yang berbeza."