Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, berkata lima sukan akan menjadi sandaran negara untuk meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Paris 2024 bulan depan.

Menurutnya, lima sukan berkenaan ialah badminton, berbasikal, terjun, memanah dan pelayaran, yang mempunyai reputasi besar dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

"Atlet kita dalam sukan ini mempunyai prospek menyumbang pingat emas dalam temasya sukan terbesar dunia ini dan sudah tentu sasaran paling utama ialah pingat emas.

"Tidak sama perasaannya jika seseorang itu mempunyai 10 pingat perak berbanding mempunyai hanya satu sahaja pingat emas, sudah pasti berbeza.

"Jadi, memang kita sepakat, emas mesti digenggam,” katanya dalam sidang media.

Mengulas lanjut, Norza menambah: "Kesemua atlet yang layak ke Sukan Olimpik bermaksud mereka juga ada peluang untuk mendapatkan pingat, malah mereka sudah berusaha empat tahun untuk sampai ke peringkat ini, jadi sudah tentu mereka akan cuba sedaya upaya serta bukan sekadar sebagai penumpang sahaja.

"Setiap mereka yang bergelar atlet pasti mengimpikan mereka mampu melayakkan diri ke Sukan Olimpik, jadi mereka sudah sampai ke tahap itu dan tugas kita sekarang adalah untuk berikan segala sokongan agar mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik di Paris nanti,” katanya.