Pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, menambah bilangan pingat buat kontinjen negara susulan memperoleh gangsa dalam acara keirin bagi saingan Sukan Asia Hangzhou, sebentar tadi.

Shah Firdaus, yang hadir sebagai pelumba utama negara susulan Datuk Azizlhasni Awang tidak dapat menyertai Sukan Asia ekoran mengalami kecederaan, hadir ke perlumbaan final acara keirin susulan berjaya memenangi saingan separuh akhir.

Seperti perlumbaan final Sukan Olimpik Tokyo, pelumba China, Yu Zhou, menggunakan taktikal yang sama seperti pelumba Great Britain, Jason Kenny, melakukan pecutan di awal perlumbaan sekaligus memastikan pingat emas buat tuan rumah.

Shah Firdaus bagaimanapun menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang wakil Korea Selatan, Kang Seojun.

"Pertama sekali, saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini," kata Shah Firdaus menerusi Nadi Arena.

"Sejujurnya, Sukan Asia saya kali ini seperti dirompak. Berdasarkan apa yang berlaku, perlumbaan dalam acara pecut itu seharusnya dilakukan perlumbaan ulangan atau wakil tuan rumah itu seharusnya dibatalkan.

"Saya tidak boleh bercakap lebih lagi namun saya tetap bersyukur atas kejayaan ini.

"Dalam saingan keirin, ia adalah seperti aksi ulangan final Sukan Olimpik.

"Saya tidak melihat beraksi dalam aksi final keirin sebagai pelumba terakhir bukanlah satu percaturan yang salah kerana di hadapan saya memiliki pelumba yang berkualiti, jika perlumbaan itu tidak berkesudahan seperti apa yang berlaku, saya yakin mampu menjelmakan sesuatu yang berbeza."

Rakan senegara Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.