Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, berada dalam keadaan baik selepas mengalami kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, berkata Azizulhasni kini mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan Institut Sukan Negara (ISN).

“Saya sudah mendapatkan info terkini daripada ketua jurulatih, John Beasley, sejurus insiden itu semalam (Sabtu). Nasib baik... syukur kepada Tuhan, Azizul tidak mengalami kecederaan serius atau patah tulang.

“Saya dimaklumkan, Azizul hanya mengalami kecederaan ringan dan lebam-lebam pada bahagian kaki dan tangan. Tiada apa yang serius dan Azizul juga sudah kembali menjalani senaman ringan pagi tadi (Ahad).

“Jadi marilah sama-sama kita berdoa Azizul kembali pulih bagi membolehkannya kembali menjalani latihan seperti biasa. Saya percaya Azizul seorang atlet yang kental,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Azizulhasni berkongsi satu rakaman video berdurasi 36 saat di laman Facebook miliknya yang menyaksikan dia terjatuh ketika sedang memecut dalam usaha mengejar motosikal di hadapannya di Velodrom Nasional.

Insiden itu pastinya mengejutkan ramai pihak memandangkan Azizulhasni kini dalam persiapan akhir menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 di China yang bakal bermula 23 September ini.

Malah, PKBM turut menyandarkan harapan kepada Azizulhasni untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas dalam temasya kali ini.

Mengulas lanjut, Amarjit berkata Beasley akan memantau situasi pelumba berusia 35 tahun itu dalam masa beberapa hari ini sebelum skuad berbasikal trek negara berlepas ke Hangzhou.

“Sudah tentu apa yang berlaku kepada Azizul itu memberi sedikit kesan dalam persiapannya menghadapi Sukan Asia di Hangzhou nanti tetapi saya yakin John Beasley sudah mempunyai perancangan.

“Kita tidak perlu terlalu risau dengan keadaan Azizul. Seperti yang kita semua kenali Azizul, dia pernah mengalami insiden lebih dahsyat apabila betisnya tertusuk kayu ketika beraksi dalam Siri Piala Dunia Klasik (2011) di Manchester,” tambahnya.

Dalam Sukan Asia di Hangzhou nanti, Azizulhasni, yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman, akan beraksi dalam dua acara, iaitu keirin dan pecut individu.

Sebagai rekod, dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni menyambar satu emas dalam acara pecut individu selain turut meraih satu perak (pecut berpasukan) dan satu gangsa (keirin).

-- Sinar Harian