Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, sah tidak akan beraksi dalam Sukan Asia Hangzhou bermula hujung minggu ini selepas ditimpa kemalangan sewaktu sesi latihan di Velodrom Nilai.

Azizulhasni terseret sejauh lebih 20 meter pada kelajuan 95 kilometer sejam, yang memngakibatkannya mengalami luka besar di paha selain di bahagian siku, pinggul dan pergelangan kaki.

Kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengekori motosikal 'pacer' pada kelajuan tinggi dan tayarnya secara tiba-tiba meletup sehingga dia terjatuh.

Susulan itu, Azizulhasni terpaksa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada temasya berkenaan kerana kecederaannya mengambil masa untuk pulih dan mengganggu kayuhannya.

"Selepas terjatuh, saya terus memeriksa tulang bahu, kepala, pernafasan dan jantung saya, Alhamdulillah, semua OK tetapi disebabkan saya jatuh di bahagian kiri, saya mengalami luka kebanyakannya di sebelah kiri," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Saya amat berharap dapat pergi ke Sukan Asia Hangzhou kerana ia akan menjadi penampilan saya yang terakhir.

"Tetapi dukacitanya saya maklumkan, kami semua sepakat membuat keputusan bahawa saya terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia ini.

"Saya juga memohon maaf kepada kontinjen kita dan seluruh rakyat Malaysia yang berharap untuk saya beraksi di sana," katanya.