SPRM akui bola sepak jadi tumpuan isu rasuah
Astro Arena
April 18, 2017 20:19 MYT
April 18, 2017 20:19 MYT
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, melabelkan sukan bola sepak sebagai sukan popular yang menyerlahkan lagi kepincangan berkaitan isu rasuah.
Azam berkata sebagai sukan popular yang memiliki ramai pemain dan peminat, bola sepak sering menjadi tumpuan andai ia membabitkan isu rasuah.
Jelasnya lagi, masalah rasuah membabitkan bola sepak dan sukan lain sebenarnya seimbang, bagaimanapun, menolak sebarang kemungkinan yang mengaitkan sukan dan persatuan lain ketika ini.
"Rasuah yang berlaku dalam persatuan bola sepak melibatkan pemain-pemain. Mungkin kerana mereka ramai sebab itu sukan popular ini menjadi tumpuan.
"Tetapi isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan office-bearer (pemegang jawatan) dalam organisasi sukan di negara ini tidak boleh dipandang ringan."
Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Low Beng Choo, dan pihak SPRM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini bagi membendung sebarang salah laku dalam sukan.
Persefahaman itu ditandatangani dalam Majlis Penutup Program "Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah" dan turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
"Misalnya dalam MOM dan persatuan kebangsaan kita, kami telahpun terikat dengan kod etika dan maruah oleh OIC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa). Sudah lama dah.
"Apabila kita diiktiraf pada 1950, kod etika ini boleh dikatakan diperbaharui disebabkan perubahan masa, di mana terdapat lebih lagi peraturan dan penjelasan," kata Beng Choo.