Skuad wanita terlepas kelayakan merit ke Piala Uber
Penulis Jemputan
February 9, 2018 13:06 MYT
February 9, 2018 13:06 MYT
Skuad wanita negara gagal memperoleh tiket secara merit ke pusingan akhir Piala Uber selepas tewas 3-0 di tangan Korea Selatan dalam aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, pagi tadi.
Bagaimanapun, mereka masih boleh menarik nafas lega kerana tetap layak ke aksi perebutan piala itu di Bangkok, Mei depan berdasarkan kuota klasifikasi kedudukan dunia.
Malaysia terpaksa menerima kekalahan selepas Soniia Cheah tunduk 13-21, 10-21 di tangan Sung Ji Hyun sebelum gandingan Vivian Hoo-Tee Jing Yi serta Goh Jin Wei gagal menewaskan lawan masing-masing.
"Apa yang boleh saya katakan adalah lawan saya jauh lebih pantas dan dia dapat mengekalkannya sehingga tamat perlawanan," ujar Soniia.
"Lawan jelas lebih kukuh dan yakin, tidak berdepan sebarang rasa gemuruh. Kami sudah mencuba yang terbaik tetapi mereka sangat bagus," tambah Vivian pula.
"Mungkin set pertama, lawan tidak begitu bersedia tetapi apabila memasuki set kedua dan ketiga, saya tidak begitu fokus," kata Jin Wei.