Dengan menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala Asia, slot merit ke Piala Dunia Hoki 5 sepasukan (5s) kekal menjadi milik skuad negara berikutan Oman bakal bertindak sebagai tuan rumah kejohanan itu.

Kekalahan kepada Oman membuka pekung kem negara di samping terpaksa menerima hakikat bahawa mereka dibentuk dua minggu sebelum kejohanan itu bermula.

"Memang perjalanan kami tidak lancar kerana dua minggu terawal adalah melibatkan pemilihan pemain dan dua minggu berikutnya adalah latihan.

"Selepas 12 pemain ini dikumpulkan, barulah kami dapat terapkan konsep permainan dan tempoh ini tidak panjang tetapi kejayaan layak ke Piala Dunia adalah satu pencapaian yang membanggakan," kata pengurus skuad hoki 5s negara, Sukri Mutalib, di Nadi Weekend sebentar tadi.

Sukri mewakili barisan kejurulatihan di bawah seliaan Wallace Tan turut berkongsi mengenai pelan jangka masa pendek sebelum saingan Piala Dunia di Oman awal tahun depan.

Menerusi persetujuan bersama jurulatih terlibat, skuad negara berkemungkinan besar kekal berlatih di kem Latihan Pusat Sendayan, Negeri Sembilan, didorong oleh kemudahan pasukan selain faktor suasana yang tidak mengganggu fokus pemain.

"Persiapan perlu bermula sebaik kami pulang.




"Kami perlu buat persiapan awal dan tempoh empat bulan memadai kerana ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Kalau mahu bermain dalam Piala Dunia, kami kena pastikan pasukan berada di tahap terbaik," katanya.