Skuad hoki dalam dewan negara masih mengalami masalah kemudahan tempat latihan apabila sering kali menjadi perkara berbangkit dalam perbincangan bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Ini kerana, mereka terpaksa menyewa di dewan hoki Pusat Tranformasi Bandar (UTC), Sentul, Kuala Lumpur, setiap hari untuk menjalani latihan menjelang kejohanan antarabangsa.

Dalam pada itu, skuad hoki wanita bakal berlepas ke Chonburi, Thailand, untuk saingan Kelayakan Piala Dunia Hoki dalam dewan, bermula 13 Mei ini.

Pasukan lelaki pula, akan bersaing dalam Piala Asia yang juga merupakan Kelayakan Piala Dunia di Kazakhstan, bermula 21 Mei.

"Para pemain dan barisan kejurulatihan terpaksa mencari inisiatif sendiri untuk berlatih kerana kekurangan infrastruktur.

"Kami perlu menyewa di UTC Sentul sebelum kejohanan Sukan SEA tempoh hari tetapi tetap membawa pencapaian cemerlang ketika itu.

"Saya sedang membuat perbicangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengenai perkara ini dan pihak kementerian bersedia untuk membantu pasukan hoki dalam dewan negara," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.