'Semua orang kenal kami selepas Sukan Olimpik'

Muzaffar Musa
November 1, 2024 16:42 MYT
Pearly Tan dan M.Thinaah dalam satu temu bual baru-baru ini mengakui bahawa mereka kini lebih dikenali selepas mencipta sejarah dengan menduduki tempat keempat dalam Sukan Olimpik Paris lalu.
Beregu wanita negara itu berada di kemuncak prestasi sewaktu di Paris dan walaupun mereka terlepas pingat, Pearly dan Thinaah tetap memenangi hati jutaan rakyat Malaysia yang menonton aksi mereka dari tanah air.
Mereka juga mencipta sejarah apabila menjadi pasangan beregu wanita negara pertama mara ke separuh akhir temasya itu.
Sejak itu, kehidupan di luar gelanggang mereka telah berubah secara dramatik.
"Lebih ramai orang mula mengenali kami. Selepas beberapa ketika, semua orang mengenali kami dan mula menantikan perlawanan kami.
"Kami benar-benar gembira dapat kembali ke Malaysia selepas Sukan Olimpik,” kata pasangan itu, yang pada mulanya mahu berehat panjang selepas temasya berkenaan.
"Agak sukar untuk memberikan tumpuan dalam gelanggang. Kami mahu berehat panjang selepas Paris, dan kami memberitahu jurulatih bahawa kami mahu berehat selama sebulan atau dua bulan.
"Bagaimanapun, kami meneruskannya kerana kami mahu membina momentum dan layak ke Final Jelajah Dunia,” tambah mereka.
Ternyata, keputusan untuk terus bermain itu tepat apabila pasangan berkenaan memenangi Terbuka Hong Kong dan menduduki tempat kedua dalam Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Finland.
Keputusan itu juga telah mengembalikan mereka ke kelompok 10 teratas dunia, yang menyaksikan mereka kini berada di ranking ketujuh.
Bagaimanapun, kejayaan yang berterusan datang dengan pengorbanan.
Thinaah meluahkan rasa rindunya untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga manakala Pearly pula berkata dia hanya mahu pulang ke kampung halamannya di Alor Setar untuk meluangkan masa bersama anjing peliharaan kesayangannya.
Pearly dan Thinaah kini berpeluang untuk berehat dan dijangka akan kembali beraksi dalam Masters Jepun bermula 12 November ini.
#badminton #Pearly Tan #M. Thinaah
;