Pemain sayap Terengganu, Akhyar Rashid, tidak mahu menyimpan dendam, sebaliknya mendoakan agar penyamun yang mencederakannya diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, dia juga berada dalam keadaan baik selain berterima kasih kepada pihak yang mendoakan kesihatannya.

"Assalamualaikum, pertama sekali terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan saya. Semuanya dalam keadaan baik.

"Semoga kita semua dibawah lindungan dan rahmat Allah SWT. Semoga pelakunya diberikan petunjuk dan hidayah oleh-Nya," kata akhyar dalam Instastory miliknya.

Sebelum ini, pemain sayap kebangsaan itu dilaporkan disamun dua lelaki bersenjata dalam satu kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.

Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800 selain dipukul menggunakan senjata besi boleh laras.

Akibat kejadian itu, Akhyar dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima enam jahitan, iaitu empat jahitan di bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

--Sinar Harian