Seorang remaja lelaki rebah semasa berada di tempat duduk penonton ketika hadir ke Stadium Darul Aman di sini bagi menyaksikan perlawanan Piala FA pasukan Kedah Darul Aman menentang Johor Darul Takzim petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian jam 7 petang itu, remaja berusia 18 tahun tersebut dipercayai datang ke stadium bersama adiknya.

“Remaja itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudiannya segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam yang bertugas di stadium untuk membawa remaja tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi menerima rawatan.

Siti Nor Salawati berkata, hasil siasatan ke atas keluarganya mendapati remaja terbabit menghidap sakit jantung sejak kecil.

Katanya lagi, doktor yang merawat mengesahkan sebab kematian sebagai ‘Complex Cyanotic Heart Disease’ iaitu berkait sakit jantung yang dihidapi.

Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tambahnya.

“Setiba di Zon Kecemasan HSB, pegawai perubatan mengesahkan remaja tersebut telah meninggal dunia pada jam 8.18 malam,” katanya dalam kenyataan semalam.-Astro Awani