Episod terakhir segmen redONE Mobile Keluar-Masuk Liga M kali ini membawakan kehangatan saingan Liga Super yang bakal bermula dengan perlawanan Sumbangsih, Jumaat ini.

Setiap musim, Liga-M akan dihiasi oleh perpindahan pemain yang menjanjikan aksi yang menarik daripada setiap pasukan.

Pasukan utara tanah air, Kedah, semestinya mempertaruhkan tonggak penyerang berbisa, Ebenezer Kofi Assifuah, yang ditandatangani sehari sebelum jendela perpindahan Liga-M ditutup.

Sebagai rekod, Assifuah merupakan pemenang kasut emas saingan Piala MFL bersama KDA B dengan jumlah sebanyak 16 gol.

Pemain kelahiran Brazil, Neto Oliveira, menjadi sandaran hebat skuad Penang walaupun mempunyai rupa bentuk fizikal yang kecil. Dia akan bergandingan dengan pemain tengah, Syamer Kutty Abba, untuk membentuk satu kerjasama bagi mengawasi bahagian tengah padang.

Tidak ketinggalan, skuad kendalian Yusri Che Lah, Perak, pantas membawa masuk penyerang dari Brazil, Clayton Da Silva, sebagai pelengkap pemain import terakhir pasukan itu. Penyerang berusia 29 tahun itu di jangka akan bergandingan bersama Luka Milunovic untuk menggempur barisan pertahanan pasukan lawan.

Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor, akan diperkuat oleh pertahanan elit dari Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, yang akan bersama-sama ketua pasukan, Safuwan Baharudin, selaku benteng kebal skuad The Red Giants.

Eshmurodov antara tunjang yang membawa Uzbekistan ke suku akhir Piala Asia 2023 sebelum disekat juara bertahan, Qatar, Januari lalu.