Raja Imran sedia tukar bidang demi bela nasib pemain Liga-M
Najmi Iman
October 30, 2024 18:44 MYT
October 30, 2024 18:44 MYT
Bekas pertahanan Perak, Raja Imran Shah Raja Amin, sedang meneliti peralihan karier daripada bergelar pemain bola sepak kepada seorang peguam berikutan memiliki latar belakang dalam jurusan undang-undang.
Raja Imran bercadang mempraktikkan ilmu tersebut dalam arena bola sepak untuk membela nasib pemain terutama isu tunggakan gaji.
Pemain kelab Liga A1 Semi-Pro, Bunga Raya Damansara, berusia 26 tahun itu akan bekerjasama dengan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) meskipun masih aktif bermain sukan berkenaan.
"Bagi saya seorang pemain, tugas sebagai hak-hak pemain sangat penting kerana umum mengetahui banyak masalah membelenggu pasukan dan pemain di Malaysia.
"Boleh kata kebetulan sebab saya merupakan pelajar undang-undang dan dikira sebagai minat untuk bersuara bagi pihak pemain lain yang mengalami masalah.
"Mesti ada ramai lagi pemain yang perlu bersuara menentang isu-isu ini sebab ia adalah masalah yang besar walaupun susah untuk diperbaiki.
"Untuk menentang isu ini memang susah sebab sesebuah persatuan seperti PFAM perlu menghadapi banyak entiti lain.
"Untuk sesuatu berubah dalam industri ini memerlukan sokongan ramai. Semua pemain kena datang berkumpulan untuk menyuarakan hal ini.
"Saya belajar undang-undang sebagai persiapan selepas karier bola sepak, khususnya bidang sukan.
"Saya ingin melihat satu perubahan dalam bola sepak. Hak pemain dan isu gaji perlu diselesaikan," katanya di Nadi Arena.