Rafael Nadal tak bertanding Terbuka Perancis, rancang gantung raket tahun depan

Shaiful Shamsudin
May 19, 2023 14:56 MYT
Rafael Nadal tidak akan menyertai Terbuka Perancis minggu depan sambil menyatakan hasratnya untuk bersara pada 2024.
Juara grand slam 22 kali itu tidak beraksi sejak tersingkir dalam pusingan kedua di Terbuka Australia, Januari lalu.
Nadal bergelut dengan kecederaan pinggul dalam kekalahan straight set kepada Mackenzie McDonald itu dan isu berkenaan berterusan apabila pemain berusia 36 tahun tersebut masih belum pulih sepenuhnya untuk beraksi di Roland Garros.
Pemain Sepanyol itu secara tidak langsung akan terlepas kejohanan berkenaan buat kali pertama sejak 2004 dan dalam sidang media di akademinya di Manacor, dia mengakui bahawa ia satu-satunya pilihan yang ada demi memanjangkan kariernya.
Juara Terbuka Perancis 14 kali itu merancang untuk berehat dalam beberapa bulan akan datang dengan matlamat untuk pulih supaya dia dapat beraksi dalam kejohanan penting pada 2024 dan dalam Jelajah ATP terakhirnya.
"Matlamat saya dan cita-cita saya adalah untuk mencuba dan berhenti, memberi diri sendiri peluang untuk menikmati tahun depan yang mungkin akan menjadi tahun terakhir saya dalam jelajah profesional," kata Nadal dalam sidang akhbar.
“Ini perancangan saya sendiri tetapi saya tidak boleh mengatakan 100 peratus ia akan menjadi kenyataan, namun idea dan motivasi saya adalah untuk cuba menikmati serta mengucapkan selamat tinggal kepada semua kejohanan utama pada pandangan saya.
“Untuk berdaya saing pada hari ini adalah tidak mungkin. Saya percaya jika saya meneruskannya sekarang, saya tidak akan mampu merealisasikannya.”
#Rafael Nadal #Tenis
;