Piala Wanita ASEAN: Saya dengar Malaysia pasukan terkuat - Jurulatih Indonesia
Zaki Zainal
November 27, 2024 13:01 MYT
November 27, 2024 13:01 MYT
Jurulatih skuad wanita Indonesia, Satoru Mochizuki, bangga dengan kerja keras anak buahnya selepas menewaskan Malaysia dalam perlawanan kedua kumpulan B Piala AFF Wanita 2024 di Stadium New Laos National, Vientiane, semalam.
Satoru gembira kerana Indonesia mampu menewaskan Malaysia yang disebutnya sebagai pasukan terkuat di Kejohanan Piala AFF 2024 atau ASEAN Women's Cup 2024.
"Pertamanya, saya sangat gembira kerana kami boleh meraih kemenangan. Mengenai Malaysia, saya mendengar mereka adalah pasukan terkuat di kejohanan ini, tetapi kami berhasil mengekang dan menghalang kekuatan mereka," kata Satoru kepada Kita Garuda.
Satoru turut memuji keampuhan pertahanan skuad wanita Indonesia dengan jurulatih yang berasal dari Jepun itu yakin skuad wanita Indonesia akan terus meningkatkan prestasi di peringkat seterusnya iaitu pusingan kalah mati.
"Kemampuan bertahan Indonesia sangat berkesan. Kami datang ke sini dengan target muncul sebagai juara, dan pertandingan kedua ini jauh lebih baik dibandingkan dengan yang pertama," tambah Satoru.
Tambahan tiga mata membawa skuad wanita Indonesia menghuni tangga teatas kumpulan B dengan empat mata terkumpul dari dua perlawanan.
Keputusan ini memastikan langkah Indonesia mara ke separuh akhir Piala AFF 2024 menjadi kenyataan.