Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, sekali lagi menaiki podium dalam tempoh kira-kira 24 jam selepas meraih pingat gangsa dalam final keirin lelaki saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu di Shizuoka sebentar tadi.

Azizulhasni yang turut merangkul gangsa dalam acara pecut semalam, terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba tuan rumah yang menyaksikan Kaiya Ota meraih emas dan perak menjadi milik Kento Yamasaki.

Dalam perlumbaan hari ini, strategi juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu melakukan pecutan awal dapat dihidu Ota dan Yamasaki yang berjaya memintas untuk mengesahkan kejayaan satu-dua Jepun.

Ia merupakan emas kedua Ota selepas pelumba sensasi Jepun berusia 24 tahun itu turut mengatasi Azizulhasni dengan mengungguli saingan pecut lelaki.