Piala Sudirman: Skuad negara perlu manfaat ketiadaan bintang dunia

Muzaffar Musa
September 17, 2021 19:03 MYT
Saingan badminton Piala Sudirman edisi 2021 di Vantaa, Finland bermula 26 September ini bagaikan hilang seri apabila ramai pemain bintang sah tidak akan menyertai kejohanan dwitahunan itu.
Bagaimanapun, ketiadaan jaguh China, Chen Long, selain perseorangan wanita nombor satu dunia, Tai Tzu Ying, dan beregu emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, mencetuskan rasa optimis barisan muda negara, yang rata-ratannya tidak pernah beraksi dalam kejohanan itu.
Malaysia akan beraksi dalam saingan Kumpulan D yang turut dibarisi Jepun, England dan Mesir.
Naib juara dua kali, Jepun, dilaporkan kehilangan khidmat tiga pemain beregu, iaitu Keigo Sonoda, Takeshi Kamura dan Hiroyuki Endo selain Sayaka Hirota, yang sedang menjalani pemulihan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
Mesir pula dijangka akan bergelut dalam edisi kali ini apabila hanya membariskan empat pemain untuk beraksi dalam lima acara.
England akan turun tanpa perseorangan lelaki, Toby Penty, dan beregu lelaki, Chris Langridge.
Biarpun hanya meletakkan sasaran ke suku akhir, ketiadaan beberapa bintang ternama dunia dalam edisi kali ini harus dimanfaatkan pemain muda negara -- yang akan diketuai jaguh perseorangan, Lee Zii Jia -- bagi mengatasi pencapaian ke separuh akhir edisi di Guangzhou pada 2009.
Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, berkata: "Di atas kertas, memang kelihatan kita lebih berkelebihan berbanding Mesir tetapi England dan Jepun, berdasarkan senarai nama pemain mereka, ia kelihatan akan menjadi amat sengit.
"Saya lihat pemain utama dari China dan Taiwan juga tidak akan beraksi dalam edisi kali ini, jadi ia agak mengejutkan tetapi saya fikir mereka mungkin mahu menumpukan terhadap Piala Thomas."
Perseorangan Lelaki, Aidil Sholeh Ali Sadikin, menambah: "Saya memerlukan lebih banyak persediaan di dalam gelanggang. Mental dan jiwa saya perlu kuat ketika bermain.
"Saya pun tidak tahu bagaimana (suasana kejohanan itu), saya hanya mengikuti arahan jurulatih dan jika mereka mahu saya bermain, saya akan memberikan yang terbaik."

Piala Sudirman hilang seri apabila ramai pemain elit dunia tidak sertai, tetapi apa pula kata tonggak beregu negara, Aaron Chia @AaronChia24 mengenai perkara ini? Nantikan laporan penuh di Nadi Arena 7.30 malam ini pic.twitter.com/WFOifI5vZv

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) September 17, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#badminton #Chen Long #Aaron Chia #Aidil Sholeh Ali Sadikin #Badminton Piala Sudirman
;