Piala Sudirman: Malaysia juarai peringkat kumpulan

Sinar Harian
May 17, 2023 08:36 MYT
Malaysia meneruskan rentak kemenangan selepas menundukkan Taiwan 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C kejohanan Piala Sudirman di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas turut menewaskan Australia dan India.
Skuad badminton negara meraih mata pertama menerusi gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 17-21, 21-19 dan 21-17 dalam pertarungan selama 67 minit.
Lee Zii Jia yang dilihat mula menemui sentuhannya kembali tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain di kedudukan kelima dunia, Chou Tien Chen 21-14, 23-21 untuk meraih mata kedua negara.
Bagaimanapun, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa akur dengan kehebatan pemain di ranking ketiga dunia, Tai Tzu Ying selepas tewas straight set 21-8, 21-10 dalam tempoh 28 minit.
Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan mata ketiga negara selepas mudah menundukkan gandingan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-8, 23-21.
Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut cemerlang menghadiahkan mata keempat buat negara dengan kemenangan ke atas Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun 21-15, 19-21 dan 21-15.
Aksi separuh akhir dijadualkan berlangsung pada Jumaat.
kredit: Sinar Harian
#badminton #Goh Jin Wei #Piala Sudirman #Lee Zii Jia