Menjelang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula hujung minggu ini, skuad hoki negara berjaya menumpaskan seteru tradisi, New Zealand, dalam perlawanan persahabatan, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung secara tiga suku itu menyaksikan The Speedy Tigers merobek jaringan New Zealand 3-2 hasil jaringan Shello Silverius, Azrai Aizad Abu Kamal dan Faizal Saari.

Ia menjadi medan buat ketua jurulatih, Sarjit Singh, sebelum memuktamadkan 18 pemain yang akan mewakili negara dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah.

Malaysia, yang berada di ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali, Pakistan, pada 4 Mei ini, diikuti aksi berdepan Kanada (5 Mei), juara dua kali, New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali, Korea Selatan (10 Mei).

Malaysia akan turun sebagai juara bertahan selepas merangkul kejayaan sulung Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.