Piala Remaja Asia: Jangan pandang rendah Bangladesh
November 30, 2024 09:38 MYT
Skuad hoki remaja negara tetap berwaspada ancaman Bangladesh menjelang perlawanan ketiga Kumpulan B, Piala Remaja Asia di Muscat, Oman malam ini.
Malah, di sebalik status pendahulu kumpulan, pengendali The Young Tigers, I. Vikneswaran, menyifatkan corak permainan pasukan Bangladesh, yang berada di kedudukan ketiga di belakang Pakistan, tidak seharusnya mengalpakan pemain-pemain negara.
"Bangladesh merupakan pasukan yang mempunyai corak permainan lebih moden berbanding sebelum ini.
"Mereka juga mempunyai beberapa pemain berkualiti selain pakar pukulan sudut penalti yang berbisa
"Apa yang penting pada pemain-pemain remaja negara ketika ini ialah mereka harus fokus kepada elemen kejutan pasukan dalam mengeksploitasi kelemahan mereka.
"Kami telah mempersiapkan pasukan dengan rapi, termasuk memperbaiki beberapa aspek seperti pukulan sudut penalti supaya setiap peluang dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan," katanya, yang turut mahu setiap pemain fokus kepada tugas masing-masing dan beraksi sebagai satu unit.
Anak buah Vikneswaran membuka kempen di Muscat dengan menang besar 5-1 ke atas China sebelum meneruskan momentum positif dengan kemenangan 9-1 ke atas tuan rumah, Oman, sekali gus memimpin kumpulan B.
Sebaik selesai berdepan Bangladesh, angkatan Vikneswaran akan berdepan ujian karakter sebenar dengan menentang gergasi Asia, Pakistan, bagi menentukan juara kumpulan.
Sebagai rekod, dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir dan enam pasukan terbaik kejohanan itu akan layak ke Piala Dunia Remaja 2025 di India pada Disember depan.
Kejohanan itu juga buat kali pertama memperlihatkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengembangkan slot penyertaan kepada 24 pasukan dalam usaha pemerkasaan pembangunan sukan itu bagi jangka panjang.
--Sinar Harian