Piala Raja Thai: Aspek serangan, pertahanan perlu diperhalusi lagi -- Ahmad Jais Baharun
Saufi Tahir
September 10, 2024 17:43 MYT
September 10, 2024 17:43 MYT
Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, beranggapan skuad kebangsaan perlu memperhalusi aspek serangan dan pertahanan susulan kegagalan berterusan anak buahnya kempen Piala Raja Thai sebelum ini.
Aksi akhir mendebarkan itu menyaksikan skuad sepak takraw negara terus kempunan untuk memenangi acara berpasukan lelaki dalam kempen Kejohanan Piala Raja Thai 2024 apabila terpaksa akur dengan kekalahan kepada pasukan tuan rumah, Thailand.
"Jika kita lihat dari aspek serangan dan pertahanan merupakan elemen penting dalam era moden sepak takraw ketika ini. Kita lihat beberapa perkara yang perlu diperbaiki bagi mendapat momentum awal sebelum kejohanan akan datang," Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun.
Ahmad Jais menegaskan jurang antara skuad sepak takraw negara dan Thailand tidak terlalu jauh kerana kedua dua negara berpeluang untuk melakar kemenangan.
"Jurang pada ketika ini tidak begitu jauh kerana kita boleh menang 15-4 dalam set pertama dalam acara regu. Thailand juga mempunyai kelemahan, beberapa elemen perlu diperbaiki dalam membina keyakinan pemain untuk mementapkan lagi kesefahaman agar mereka lebih bersiap sedia untuk memperagakan aksi yang lebih baik." tambahnya lagi.