Kejohanan Berbasikal Trek Piala Negara-Negara UCI di Jakarta bermula Jumaat ini akan menjadi medan terbaik ujian terbaik buat Datuk Azizulhasni Awang untuk menguji kemampuannya selepas menjalani pembedahan jantung pada April tahun lalu.

Skuad berbasikal trek negara dilaporkan sudah berada di Jakarta sejak Isnin lalu bagi mempersiapkan diri menjelang kejohanan berkenaan.

Ketua jurulatih skuad negara, John Beasley, berkata kesemua anak buahnya sedang berada dalam keadaan terbaik kecuali Shah Firdaus Sahrom, yang masih tercari-cari rentak kayuhannya selepas pulih daripada kecederaan.

Tambahnya, kejohanan itu juga akan menjadi kayu pengukur kemampuan barisan negara selain merupakan kejohanan pertama untuk mengumpulkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Shah akan turun dalam kejohanan ini dengan sedikit di bawah prestasi kerana dia baru sahaja mengalami kecederaan kecil di rusuknya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

"Jadi, kami tidak dapat melakukan beberapa latihan penting bersama Shah tetapi dia sudah kelihatan lebih baik dan tampak lebih cergas untuk kejohanan ini.

"Saya harap Datuk Azizul sekurang-kurangnya dapat ke separuh akhir acara Keirin, juga buat Shah, di mana ia akan memberikan mata yang baik buat kami.

"Kemudian, saya juga berharap agar Datuk Azizul dapat kembali berada dalam kelompk 15 teratas acara pecut.

"Ini merupakan kejohanan pertama untuk mengumpulkan mata kelayakan dan sudah pasti kami mahu memulakannya dengan sehabis baik.

"Ia juga akan memberikan indikasi di mana kedudukan kami ketika ini dan ke mana arah tuju kami selepas ini," katanya lagi.