Juara Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2022, Selangor MAC, nyata sukar digugat Pahang Rangers apabila dinobatkan Piala Futsal Malaysia di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic, sebentar tadi.

Keazaman kedua-dua pasukan untuk menjulang trofi terserlah apabila masing-masing kehilangan seorang pemain akibat kad merah selepas Ekhmal Shahrin dan Saiful Nizam Ali terbabit dengan insiden pertelagahan pada minit ke-11.

Namun, Selangor MAC tenang di sebalik gawang mereka dirobek Ridzwan Bakri dalam separuh masa pertama.

Dan rentak kebangkitan mereka sebaik babak kedua bermula menerusi sentuhan Khairul Effendy Bahrin -- dinamakan sebagai Pemain Terbaik -- dan pemain kebangsaan itu menjadi arkitek kemenangan Selangor MAC dengan bantuan jaringannya untuk tiga lagi gol pasukannya dalam tempoh pantas.




Usaha Pahang Rangers dalam tempoh lima minit terakhir untuk mengurangkan defisit gol 3-4 nyata sudah terlambat untuk menyekat seteru dari Lembah Klang itu meraikan kejayaan mereka.

Sementara itu, Selangor TOT United menamatkan saingan dengan nota paling memuaskan dalam penyertaan pertama mereka apabila meraih tempat ketiga pada minit terakhir perlawanan menerusi ledakan Hazizi Mansor untuk menafikan hasrat Pulau Pinang, petang tadi.