Juara Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia, Selangor MAC, mengintai untuk memperbaiki pencapaian tempat ketiga edisi 2021 apabila memulakan kempen Piala Futsal AFF, Isnin depan.

Mereka bertolak ke Nakhon Ratchasima, Thailand, hari ini sebagai persiapan akhir sebelum memulakan kempen Kumpulan B, bertemu Ramelau dari Timor Leste disusuli pertemuan getir dengan wakil Vietnam, Sahako, sehari kemudian.

Dalam misi kali ini, Carlos Alberto Aranha, dilantik sebagai ketua jurulatih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marcelo Serpa Coelho.

"Kami lebih banyak bekerja keras dalam aspek bertahan.

"Taktikal yang saya terapkan mementingkan pergerakan bola.

"Pemain dapat menyesuaikan diri dengan baik cuma masalahnya kami kesuntukan masa untuk membuat persiapan," katanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.




Sementara itu, ketua pasukan Selangor MAC, Farid Mohamad, menganggap ini peluang mereka untuk membuktikan jurang kualiti kancah tempatan dengan Thailand dan Vietnam makin dekat dengan menjuarai peringkat kumpulan.

"Sahako terdiri daripada pemain kebangsaan Vietnam.

"Saya harap kami dapat juarai peringkat kumpulan.

"Permainan kami di bawah jurulatih baru sedikit berbeza.

"Dia menerapkan disiplin permainan yang tinggi, permainan, pergerakan dan jadi saya harap kami dapat persembahkan dalam Piala AFF," katanya pula.