"Saya mahu mencipta sejarah buat Kedah." Itu reaksi pemain tengah import Kedah, Sandro Da Silva, yang tidak mahu melepaskan peluang mencipta kejayaan di pentas perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Sandro benar-benar teruja untuk beraksi dalam final Piala FA kali ini ekoran terlepas peluang beraksi merebut trofi Piala Malaysia 2016 gara-gara kecederaan.

Impian menjulang piala demi piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) makin hampir dan Sandro sendiri menegaskan, dia sudah pun berusaha keras untuk Lang Merah sampai ke tahap ini.

Selepas membantu Kedah menjuarai Liga Perdana 2015, Sandro terpaksa menunggu sehingga dua tahun untuk kembali ke pentas final, namun kali ini menerusi keadaan fizikal yang lebih baik.

"Bola sepak penuh dengan kejutan dan tidak salah untuk memasang impian besar.

"Saya berusaha keras pada setiap hari dan memberi tumpuan daripada perlawanan ke satu perlawanan," katanya.

Berhadapan Pahang, Sandro mengakui ia cabaran sukar. Begitupun, dia menegaskan kehadiran Kedah di Stadium Shah Alam adalah untuk mencari ruang muncul juara baru Piala FA.

"Saya mempunyai keyakinan terhadap permainan saya dengan bekerja keras setiap hari.

"Saya juga sentiasa bersikap positif.

"Saya akan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan berharap dapat meraih satu lagi trofi."

Dalam sesi latihan hari ini, tiga tonggak import Kedah, antaranya Liridon Krasniqi dan Ken Ilso bersama-sama menjalani latihan bersama pasukan dan hanya pertahanan import, Zachery Anderson, tidak kelihatan.