Piala FA: JDT di landasan tepat julang gelaran ketiga berturut-turut -- pakar
Muzaffar Musa
July 7, 2024 19:08 MYT
July 7, 2024 19:08 MYT
Pakar bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, menganggap Johor Darul Ta'zim (JDT) kini berada di landasan terbaik untuk meraih gelaran Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Jelasnya, rekod di atas kertas jelas memihak skuad kendalian Hector Bidoglio itu, yang akan berdepan Kedah Darul Aman di peringkat separuh akhir hujung bulan ini, tetapi tidak menolak Sang kenari juga memiliki kekuatan untuk melakukan kejutan.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, pemenang Piala FA 1997 itu berkata: "Laluan terbuka luas buat JDT untuk mencipta satu lagi kemenangan atau sekurang-kurangnya mendapatkan tempat ke perlawanan akhir.
"Kita sedia maklum bahawa perlawanan (separuh akhir) pertama akan berlangsung di Kedah dan kalau kita lihat, Kedah sebelum ini menghadapi tentangan sengit Penang dalam suku akhir.
"Untuk Kedah sendiri, apabila mereka bertindak sebagai tuan rumah dalam perlawanan pertama nanti, mereka perlu menggunakan kelebihan itu untuk menyusun taktikal, menyekat kekuatan individu dan statistik pasukan JDT untuk membawa bekalan ke tempat lawan dalam perlawanan kedua nanti," katanya.