DENMARK 0 TUNISIA 0

Andreas Cornelius terlepas peluang keemasan sementara Tunisia meraih mata penting dalam perlawanan Piala Dunia dengan Denmark yang berkesudahan tanpa jaringan, sebentar tadi.


Denmark yang mara separuh akhir Euro 2020 dilabel sesetengah pihak sebagai kuda hitam dalam kempen di Qatar, sebaliknya mereka diuji hebat oleh Tunisia.

Dengan sokongan padu di Stadium Education City, Tunisia lebih menguasai perlawanan pembukaan Kumpulan D itu apabila menuntut Kasper Schmeichel menyelamatkan percubaan menarik yang dijelmakan Issam Jebali dalam separuh masa pertama.




Ketika Denmark mula mengatur langkah lebih positif, ia hanya menyemarakkan penyokong Tunisia apabila terjahan Aissa Laidouni ke atas Christian Eriksen dirai bagaikan jaringan.

Kemudian keseronokan mereka hanya bertahan seketika selepas penyudah Jebali dibatalkan sebaik bendera ofsaid diangkat.

Jebali kekal menjadi tunjang utama pasukannya dalam babak kedua apabila menuntut Schmeichel melayangkan badannya untuk menguis lambungan penyerang itu.

Selepas itu, giliran jaringan Andreas Skov Olsen dibatalkan kerana ofsaid, manakala ketangkasan Aymen Dahmen menafikan percubaan Christian Eriksen.

Dan pemain gantian, Cornelius, seharusnya mencetak namanya sebagai wira tetap tandukannya dari jarak dekat tersasar cuma satu ela.

Detik mendebarkan terus berlanjutan di penghujung permainan apabila mendakwa bola terkena tangan Joachim Andersen di dalam kotak penalti.

Dengan rayuan itu tidak diendahkan, Tunisia sebaliknya hampir dihukum selepas lengan Meriah terkena tempias bola pada masa kecederaan, tetapi pengadil, Cesar Arturo Ramos, memutuskan untuk tidak memberikan sepakan penalti selepas berunding dengan pembantunya.