Ketua jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand, tidak gentar dengan kelibat Kylian Mbappe tetapi mengakui tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menyekat kelincahan penyerang Perancis itu.

Mbappe turut mencetak jaringan dalam kemenangan 4-1 Les Bleus ke atas Australia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Piala Dunia di Qatar kelmarin dan kelihatan sangat tajam digandingkan bersama Olivier Giroud.

Anak buah Hjulmand itu pula seri tanpa jaringan ketika menentang Tunisia tetapi sedar untuk menghindari gawang daripada dirobek oleh juara bertahan tersebut mungkin lebih sukar.

Ditanya sama ada dia gentar dengan Mbappe, Hjulmand menjawab: "Saya rasa adalah tidak bagus untuk berasa khuatir. Kami mempunyai rancangan untuk menghalangnya. Di Parken (pada September lalu) kami menampilkan satu rancangan yang baik, struktur yang baik. Dia mempunyai dua atau tiga peluang sahaja dan tidak kira apa perancangan anda untuk menghadapi pemain terkemuka, mereka tetap tidak boleh disekat.

"Kami telah menjalankan banyak analisis untuk cuba meminimumkan impaknya, kami tidak mahu dia menonjolkan bakatnya."





Hjulmand berharap beberapa sumber dalaman dapat membantu mereka menyekat ancaman Perancis berikutan ketua pasukan Denmark, Simon Kjaer, merupakan rakan sepasukan Giroud di Milan.

Dia menambah: "Saya harap ia satu kelebihan. Pemain seperti Giroud sangat bagus dalam apa yang dilakukannya. Ia menyeronokkan melihat begitu ramai penyerang di peringkat akhir karier mereka menunjukkan cara pergerakan di dalam kotak penalti, menunjukkan cara untuk menjadi berbahaya di kedudukan mereka dan menunjukkan cara untuk menyudahkan peluang di dalam kotak penalti.

"Giroud kini lebih baik berbanding sebelum ini, dia sangat berbahaya. Simon mengenalinya dengan baik dan kami telah bercakap mengenai butiran kecil."