Denmark melancarkan protes penganjuran Piala Dunia Qatar dengan memperkenalkan konsep logo sahaja menerusi pengeluar pakaian rasmi mereka, Hummel.

Ia sebagai tindakan terhadap membawa mesej hak asasi manusia selepas laporan The Guardian pada tahun lalu mengatakan 6,500 pekerja asing terkorban bagi merealisasikan temasya itu.

Walaupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), melarang sebarang kenyataan politik di jersi Piala Dunia. seragam Denmark itu akan mematuhi peraturan tersebut kerana ia tidak akan mengandungi sebarang perkataan atau simbol yang merupakan bantahan yang jelas.

Malah, Hummel juga mengeluarkan jersi hitam sebagai simbolik warna berkabung.

“Dengan jersi baharu pasukan kebangsaan Denmark, kami mahu menyampaikan dua mesej. Ia bukan sahaja diilhamkan oleh Euro 92 yang merupakan kejayaan bola sepak terbesar Denmark, malah ia juga protes terhadap Qatar dan rekod hak asasi manusianya,” kata Hummel di Instagram.

A post shared by hummel Sport (@hummelsport)



“Itulah sebabnya kami telah mengecilkan semua butiran jersi baru Piala Dunia untuk Denmark ini termasuk logo dan chevron ikonik kami. Kami tidak mahu menonjol dalam kejohanan yang telah mengorbankan beribu-ribu orang nyawa.

"Kami akan sentiasa menyokong pasukan kebangsaan Denmark tetapi ia tidak sama dengan menyokong Qatar sebagai negara tuan rumah.

“Kami percaya bahawa sukan harus menyatukan orang ramai. Dan apabila tidak, kami mahu membuat kenyataan."