Skuad negara bakal membuat perhitungan dengan tuan rumah, Oman, Fiji dan Amerika Syarikat (AS) dalam Kumpulan D menjelang Piala Dunia Hoki 5s (sepasukan), awal tahun depan.

Lantas, ketua pasukan, Ismail Abu, percaya rakan sepasukannya sedia menyahut cabaran dalam kejohanan yang bakal diadakan buat julung kalinya itu.

Ismail yang juga merupakan salah seorang tonggak berpengalaman pasukan hoki padang kebangsaan yakin tempoh tiga bulan ini perlu menjadi medan persiapan yang rapi kerana sedar ketekalan dan corak permainan 5s lebih pantas berbanding hoki 11 sepasukan.

"Kami perlu perbaiki tahap kecergasan kami.

"Negara yang hebat dalam hoki 11 sepasukan tidak semestinya handal dalam kategori ini.




"Sekarang bukan nama-nama besar dunia yang bagus dalam kategori ini.

"Permainan ini menuntut ketekalan yang tinggi yang memerlukan kami berlari tanpa henti dalam tempoh 15 minit.

"Bagi saya hoki 5s lebih mencabar," katanya.