Piala ASEAN Mitsubishi Electric: Perak, Kelantan sedia lepaskan pemain
Muzaffar Musa
November 24, 2024 22:51 MYT
November 24, 2024 22:51 MYT
Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, memaklumkan pasukannya bersedia melepaskan pemain mereka sekiranya dipanggil untuk menyertai kem kebangsaan bagi menghadapi Piala ASEAN Mitsubishi Electric bulan depan
Jelasnya, Perak sedia membantu Harimau Malaya meskipun sedar kejohanan domestik masih berlangsung ketika itu.
Tambahnya, jika ada pemain mereka yang dapat bersama skuad kebangsaan, ia merupakan satu kebanggaan buat Perak di samping memberikan peluang untuk pemain berkenaan membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.
"Saya sedia membantu negara dengan melepaskan pemain kerana melihat kepada jadual pertandingan dan pemain yang akan dipilih, masih ada pengganti yang bersesuaian," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Jadi saya akan membantu. Walaupun saya faham ia bukan dalam kalendar FIFA, ia masa depan pemain dan peluang untuk mereka mempamerkan permainan dan usaha mereka selama ini."
Turut senada, penolong jurulatih Kelantan Darul Naim, Rezal Zambery Yahya, yang mengakui tidak akan menghalang tonggak tengahnya, Fazrul Amir Zaman, untuk menyahut panggilan kebangsaan.
"Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan mereka juga bersetuju untuk membenarkannya jika dia mendapat panggilan.
"Pada kami, apa yang penting adalah karier pemain itu kerana sebagai muka baru skuad kebangsaan, ia bagus untuk perkembangannya," katanya.