Petronas Terbuka Malaysia: Cabaran Tang Jie-Ee Wei di laman sendiri berakhir!
Saufi Tahir
January 11, 2025 21:10 MYT
January 11, 2025 21:10 MYT
Cabaran beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, berakhir selepas tewas kepada lawan di ranking nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dalam aksi separuh akhir Petronas Terbuka Malaysia di Axiata Arena, sebentar tadi.
Wakil negara itu berjuang selama 50 minit, namun terpaksa akur langkah mereka terhenti dalam aksi straight set 21-19,21-14, untuk menamatkan cabaran mereka di laman sendiri di pusingan separuh akhir.
Tang Jie-Ee Wei agresif menyerang dalam awal set pertama untuk mendahului 8-4 dengan jurang empat mata terlebih dahulu, namun beberapa kesilapan menghukum Tang Jie-Ee Wei untuk akur tewas 19-21 walaupun cuba untuk mengejar kembali pasukan lawan itu.
Wakil negara yang merupakan pilihan ketiga kejohanan itu cuba untuk menghidupkan kembali peluang ke pentas final dengan beraksi dengan lebih kemas, tetapi lawan yang hebat dari aspek pertahanan itu menyukarkan mereka sekali gus mengakhiri perlawanan dengan menewaskan Tang Jie-Ee Wei 21-14.
Dalam pada itu, hasrat pasangan merpati dua sejoli, Goh Soon Huat-Shevon Lai, untuk memecahkan kebuntuan selama 60 tahun negara turut tidak kesampaian apabila tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam aksi rubber set 21-17, 12-21, 16-21.