Persahabatan Antarabangsa: Pau Marti pertahan pemilihan Laos sebagai lawan Harimau Malaya

Muzaffar Musa
November 11, 2024 20:11 MYT
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente, mempertahankan pemilihan Laos sebagai lawan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan tier 1 di Thailand pada Khamis ini walaupun ia mendapat kritikan peminat bola sepak tanah air.
Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan pihaknya memiliki objektif tersendiri dalam pertemuan dengan pasukan di ranking ke-187 dunia itu sebelum bertemu pasukan di ranking ke-125, India, di Hyderabad pada Isnin depan.
Rata-rata penyokong berpendapat skuad negara, yang kini berada di ranking ke-133 dunia, sepatutnya tidak lagi bertemu pasukan di ranking lebih rendah, sebaliknya perlu mengharungi perlawanan berkualiti tinggi menentang pasukan handalan Asia.
"Saya fikir ia peluang yang baik untuk kita bermain di gelanggang lawan bertemu pasukan dengan dua cara permainan berbeza," kata Pau Marti kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kita boleh katakan yang kami sedang memikirkan mengenai persiapan bagi menjalani Kejohanan ASEAN.
"Kita juga akan menghadapi perlawanan yang amat sukar dalam pusingan kelayakan Piala Asia tahun depan, jadi berdepan India amat bagus untuk persediaan pasukan," katanya.
#bola sepak #Harimau Malaya #Pau Marti Vicente
;