Persahabatan antarabangsa: JDT mudah atasi Port FC
September 5, 2024 09:01 MYT
Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan kelab Thailand, Port FC, 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
JDT bermula baik sejurus wisel permulaan menerusi beberapa asakan menarik ke kubu pelawat dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan itu perlu menunggu hingga minit ke-14 untuk meledak gol pertama perlawanan menerusi rembatan leret Oscar Arribas.
Tersentak dengan gol itu, kesebelasan Port FC mula mengatur asakan ke kubu pelawat bagi menyamakan kedudukan tetapi segala asakan yang diatur skuad Port Lions itu dikekang benteng pertahanan JDT.
Malah, kesempatan itu turut dimanfaatkan kesebelasan Harimau Selatan bagi melancarkan serangan balas ke gawang pelawat.
Peluang terbaik JDT untuk menambah jaringan tiba dalam masa kecederaan babak pertama, namun rembatan penyerang, Jorge Leonardo, diselamatkan penjaga gol pelawat untuk keputusan 1-0 memihak JDT kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.
Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila Jorge Leonardo tenang merembat masuk gol kedua JDT pada minit ke-57.
Begitupun hasil satu serangan balas, Port FC hampir menjaringkan gol menerusi penyerang gantian, Lonsana Doumbouya, pada minit ke-71, namun penjaga gol JDT, Christian Abad Amat, terlebih dahulu meluru keluar bagi mengekang asakan tersebut.
Usaha Port FC merapatkan jurang akhirnya tertunai menerusi jaringan Willen Mota pada minit ke-80.
Bagaimanapun Jorge Leonardo sekali lagi membuktikan kewibawaannya selaku penjaring apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya, yang juga gol kedua peribadinya, dalam masa kecederaan.
Penghujung perlawanan menyaksikan tiada tambahan jaringan dilakukan kedua-dua pasukan, sekali gus menyaksikan keputusan 3-1 memihak JDT kekal ke wisel penamat.
--Sinar Harian