Perlawanan persahabatan antara skuad Harimau Malaya menentang Yaman yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 20 Jun ini terpaksa dibatalkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, berkata pihak persatuan Bola Sepak Yaman (YFA) telah menghantar surat pembatalan berkenaan lewat petang semalam yang memaksa badan induk bola sepak itu mencari pengganti dalam kadar segera.

Menurutnya, FAM telah menghubungi beberapa pasukan dan berjaya mendapatkan Papua New Guinea sebagai lawan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan itu.

"FAM menerima surat makluman rasmi daripada YFA pada jam 5 petang Selasa yang menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad B-23 negara berkenaan ke West Asian Championship di Iraq.

"Pembatalan saat akhir daripada pihak YFA ini sekali gus memaksa FAM perlu mencari segera pasukan pengganti sesuai dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing dalam kalendar FIFA kali ini.

"Selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa, 20 Jun 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harimau Malaya terlebih dahulu akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon bagi satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di venue sama pada 14 Jun.

Sebagai rekod, Yaman di kedudukan ranking ke-157 dunia, manakala Papua New Guinea ke-159 dunia, berbanding Malaysia ke-138 dunia.

Kredit: Sinar Harian