Pemain baru Harimau Malaya, Fazrul Amir Zaman, mahu mengikut jejak Adib Abdul Raop untuk kekal lebih lama dalam skuad kebangsaan.

Menjelang aksi persahabatan menentang Laos di Bangkok malam esok, tonggak Kelantan Darul Naim itu mengakui kemampuan Adib berbuat demikian menjadi inspirasinya untuk merebut tempat bertemu Laos dan seterusnya berdepan India dalam satu lagi aksi persahabatan di Hyderabad pada Isnin ini.

Adib antara pemain yang 'melekat' bersama skuad negara sejak mula dipanggil menyertai Harimau Malaya ketika bertemu Chinese Taipei pada Jun lalu.

Fazrul, dalam pada itu, dipanggil ketua jurulatih, Pau Marti Vicente, bagi menggantikan Mukhairi Ajmal Mahadi, yang digugurkan akibat kecederaan.

"Saya akan lakukan yang terbaik seandainya ada peluang diberikan jurulatih," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Semestinya saya mahu kekal lama dalam skuad kebangsaan dan saya perlu bekerja keras untuk bersaing mendapatkan tempat.

"Ia memberikan semangat untuk saya membuktikan kemampuan saya. Untuk dapat bermain agak sukar juga tetapi bagi saya, saya akan berusaha lebih lagi sehingga diberikan peluang untuk bermain," katanya.