Peng Soon-Yee See sah tinggalkan BAM
Sinar Harian
November 4, 2022 16:51 MYT
November 4, 2022 16:51 MYT
Status pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, sama ada kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau tidak akhirnya terjawab.
Ia selepas Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu BAM, Rexy Mainaky, mengesahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan meninggalkan badan induk badminton negara berkenaan berkuatkuasa 30 November ini.
Menurut Rexy, punca Peng Soon keluar tidak ada kaitan dengan BAM sebaliknya memberikan alasan masalah prestasi yang kurang baik menyebabkan pemain itu mengambil keputusan berkenaan.
“Sebelum ini, memang dia ada bercakap dengan saya, kalau jelajah Eropah ini dia tak dapat capai, apa yang dimahukan, dia akan keluar (BAM).
“Jadi, berdasarkan prestasinya yang tewas dalam pusingan pertama Jelajah Eropah, dia mengambil keputusan untuk keluar.
“Kami sudah buat yang terbaik untuk mengekalkannya di BAM, namun kami hormat keputusannya.
“Kami mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih apa yang sudah dia sumbangkan kepada BAM sebelum ini," katanya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Sebelum ini, Peng Soon kembali bersama BAM pada Disember tahun lalu selepas tiga tahun meninggalkan badan itu untuk bergerak secara profesional bersama Goh Liu Ying.
Bagaimanapun, kepulangan Peng Soon ke BAM bukanlah seperti yang diharapkan apabila dia gagal mendapat sebarang kejuaraan bersama pasangan barunya, Cheah Yee See.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, turut mengumumkan Yee See akan mengikut jejak langkah pasangannya itu meninggalkan BAM.
“Selain itu, Yee See juga buat keputusan sama untuk meninggalkan BAM hujung bulan ini selepas mengambil masa beberapa hari.
“Kami juga sudah berusaha untuk memujuknya tetapi tidak berhasil," katanya.
Kredit: Sinar Harian