Pemain beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon, sudah bersedia untuk membentuk Valeree Siow sebagai gandingannya sebaik memulakan latihan pertama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu turut memuji Valeree dan bersedia membimbing pemain muda itu, yang dibezakan 14 tahun daripada usianya.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, pemain senior berusia 34 tahun itu berkata: "Segalanya baik, cuma ada sedikit kepenatan, masih belum biasa lagi kerana pemain muda ini amat laju.

"Program juga amat banyak, jadi saya hanya ikut sahaja.

"Dia pemain yang amat muda, bertukar daripada beregu wanita ke beregu campuran, jadi masih banyak kemahiran beregu campuran perlu dipelajarinya.

"Dia juga tidak pernah betul-betul memanggil nama saya, mungkin dia perlu panggil saya Pakcik Chan," selorohnya.

Kedua-dua pemain itu akan memulakan perjalanan baru mereka dengan menyertai saingan Terbuka India pada 11 Januari ini dan akan dituruti dengan Cabaran Antarabangsa Syed Modi di negara sama pada 18 Januari ini.

Sebagai rekod, Peng Soon bergandingan dengan Goh Liu Ying selama 13 tahun dan pernah berada di ranking ketiga terbaik dunia sebelum memilih untuk membawa haluan bebeza pada awal bulan lalu.

"Saya tidak kisah umurnya. Ini gandingan baru, jadi saya tidak akan menghakimi umurnya.

"Apa yang penting adalah kombinasi kami di atas gelanggang.

"Kerana itu saya datang lebih awal untuk bersama Valeree minggu lalu agar dapat melihat kombinasi kami sewaktu latihan di dalam gelanggang.

"Kami sudah bersedia tetapi masih belum dapat menjamin keputusan yang baik, jadi kami akan mencuba untuk melakukan yang terbaik," katanya lagi.