Peminat Harimau Malaya harus berterima kasih Siti Nurhaliza pilih buat konsert di Arena Axiata
December 21, 2023 20:34 MYT
Peminat bola sepak negara harus berterima kasih apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memilih untuk mengadakan konsert di Arena Axiata berbanding Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Mac depan.
Ini kerana konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan dan hanya dibezakan 19 hari dengan aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia melibatkan Harimau Malaya dan Oman di SNBJ pada 24 Mac depan.
Menariknya, tiket konsert berkenaan habis terjual dalam tempoh dua jam sehingga ada dalam kalangan peminat yang meminta agar konsert berkenaan diadakan di stadium yang lebih besar, termasuk SNBJ.
Sebagai rekod, Arena Axiata memiliki kapasiti 11,000 hingga 16,000 penonton manakala SNBJ pula boleh memuatkan sehingga 87,000 penonton.