Paris 2024: Pingat gangsa simbolik usaha kembalikan prestasi Lee Zii Jia -- Wong Tat Meng

Muzaffar Musa
August 6, 2024 19:33 MYT
Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng, mengibaratkan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 yang dimenangi Lee Zii Jia sebagai simbolik kepada usaha untuk mengembalikan prestasi anak didiknya itu.
Sejak mengambil tanggungjawab melatih Zii Jia pada Mei 2023, Tat Meng tidak meragui kemampuan perseorangan negara itu untuk bangkit daripada prestasi tidak menentu.
Selain aspek fizikal, Tat Meng menegaskan cabaran terbesarnya adalah memulihkan aspek mental Zii Jia, yang kini lebih tersedia untuk menghadapi kejohanan di pentas tertinggi dunia.
"Bagi kami ia sesuatu yang amat berharga kerana ketika saya pulang ke Malaysia, Zii Jia seperti seorang budak yang hilang arah untuk bermain dengan permainannya," kata Tat Meng kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
"Jadi, dalam tempoh setahun ini, kami berusaha keras untuk memperbetulkan banyak perkara bagi membantunya meningkat.
"Pingat gangsa ini merupakan momentum yang baik untuk dia menghadapi kejohanan yang akan datang.
"Ingin saya katakan, hari ini kita dapat lihat dia tewas dalam set pertama tetapi dia kemudian bangkit dengan cara seperi itu, jadi saya amat gembira dengan prestasi yang dipamerkannya," katanya.
#badminton #Lee Zii Jia #Sukan Olimpik #Paris 2024 #Wong Tat Meng
;