Perseorangan negara, Lee Zii Jia, meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan wakil tuan rumah, Toma Junior Popov, dalam aksi straight set 21-13, 24-22 di Arena Porte de La Chapelle, sebentar tadi.

Set pertama menyaksikan Zii Jia mudah mengatasi Popov dengan corak permainan yang kemas dan momentum yang baik untuk menewaskan pemain di kedudukan ke-22 dunia itu 21-13 dalam tempoh 18 minit.




Dalam pada itu, wakil negara mendahului dalam set kedua dalam awal perlawanan tetapi Toma Popov kembali mendapatkan rentak permainan untuk bangkit mengikat Lee Zii Jia 13-13, dan masing-masing saling mengutip mata untuk tidak ketinggalan jauh hingga kedua-dua pemain terikat 20-20.

Begitupun, pukulan smash terakhir Lee Zii Jia memastikan slot suku akhir menjadi miliknya untuk meraih kemenangan 24-22 dalam masa 29 minit.

Pemain pilihan keempat dari Denmark, Anders Antonsen, menanti Lee Zii Jia dalam perlawanan pusingan suku akhir esok.