Datuk Azizul Hasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bakal berdepan satu lagi cabaran besar susulan jadual padat bagi acara berbasikal trek dalam Sukan Olimpik Paris 2024 bermula hujung bulan ini.

Mereka akan bermula dengan acara pecut individu, di mana mereka perlu mengharungi setidak-tidaknya 11 perlumbaan dalam tempoh tiga hari dan disusuli dengan acara keirin pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, Olimpian negara, Mohamad Rizal Tisin, berkata proses pemulihan akan menjadi keutamaan bagi merealisasikan impian meraih pingat, terutamanya emas, di Paris nanti.

"Pecut akan berlangsung dahulu selama tiga hari sebelum acara keirin selama dua hari selepas itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Azlan Mubin.

"Ia bergantung kepada prestasi mereka. Azizul, terutamanya, jika dia lepasi separuh akhir, saya rasa dia akan berhabisan untuk memburu pingat dalam acara pecut.

"Kemudian, esoknya, barulah pusingan pertama keirin dan repechage, dan sehari selepas itu, barulah separuh akhir dan final keirin.

"Jadi, mereka mungkin melalui empat perlumbaan sehari dan Insya-Allah, dengan kondisi mereka ketika ini, mereka boleh pulih secepat mungkin," katanya.