Pelumba basikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang berkongsi kisah mencemaskan ketika menjalani latihan berbasikal di United Kingdom bersama pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati.

Pengalaman itu dikongsikan dalam satu rakaman video milik beliau sendiri ketika berada di Silverstone, Tove Valley untuk menjalani latihan pusat bersama-sama pasukan berbasikal trek negara termasuklah Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati dan jurulatih mereka, John Beasley.

Menerusi video tersebut, Dato' Azizul menceritakan bagaimana beliau yang bersama-sama Izzah telah memulakan kayuhan 'recovery' pada waktu pagi di Silverstone manakala Shah Firdaus menjalani latihan lain pada hari yang sama.

Pengalaman cemas itu terjadi apabila setelah selesai melengkapkan waktu latihan selama satu jam, mereka memutuskan untuk berpatah balik ke kediaman mereka untuk menamatkan latihan pada hari tersebut. Akan tetapi, dalam perjalanan pulang mereka berasakan sesuatu yang tidak kena mengenai laluan pulang tersebut sehinggakan terpaksa menggunakan aplikasi pandu arah 'Google Maps' untuk mengetahui lokasi sebenar mereka.

Menurut beliau lagi, laluan yang diberikan turut menjadi cabaran dan halangan kepadanya dan Izzah kerana terpaksa memasuki kawasan hutan dan laluan denai sehinggalah mereka menemui jalan besar untuk pulang ke kediaman mereka.

Walaubagaimanapun, menerusi video tersebut Dato' Azizul memberitahu bahawa mereka berjaya sampai ke destinasi dan berasa lega mereka berdua telah selamat tiba di destinasi yang dituju. Menurutnya, ini menjadikannya satu pengalaman baharu buat mereka ketika menjalani latihan berbasikal di Silverstone.

Latihan skuad berbasikal trek negara menjalani latihan fasa akhir di Belgium, Sepanyol, dan United Kingdom sebelum ke Paris untuk mengibarkan cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.