Para Sukma Sarawak: Cheah Liek Hou inspirasi Faris Ahmad Azri rangkul emas badminton
Saufi Tahir
September 27, 2024 22:34 MYT
September 27, 2024 22:34 MYT
Pemenang emas para badminton, Mohamad Faris Ahmad Azri, yang mewakili Terengganu dalam acara perseorangan lelaki SU5 menewaskan lawan dari Kedah, Amyrul Yazid Ahmad Sibi dalam aksi straight set 21-18, 21-9 dalam tempoh 37 minit.
Pengorbanan Faris tidak sia-sia walaupun terpaksa meninggalkan isteri tercinta di kampung halamannya di Besut, Terengganu kerana sedang melalui proses pantang usai kelahiran anak sulungnya yang telah menginjak ke hari ke-31 hari ini.
Malah, dia turut menjadikan jaguh badminton para dunia, Cheah Liek Hou, sebagai sumber rujukan utama buat dirinya dalam mengharungi kempen di temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
"Hadiah kemenangan ini adalah buat anak dan isteri saya. Cheah Liek Hou merupakan idola saya kerana walaupun usia dia sudah meningkat tetapi dia boleh menang berdepan pemain lebih muda.
"Walaupun kekurangan dari aspek tangan dia tetapi dia sangat profesional dengan perwatakan dan disiplin dia," kata Mohamad Faris Ahmad Azri.
Sementara itu, Md Noor Md Isa, selaku jurulatih Faris yang sudah bersama selama 10 tahun memecahkan rahsia kejayaan dia memperoleh emas serta mentaliti pemain itu yang tinggi untuk bergelar juara..
"Dia berdisiplin dan selalu dengar kata, dia sentiasa teratur dan mudah untuk mendengar arahan serta mempunyai mentaliti untuk menjadi juara." tambah jurulatihnya.