Norza: Pemain profesional tetap mempunyai ruang

Penulis Jemputan
August 4, 2018 18:34 MYT
"Kami tetap beri peluang kepada pemain profesional."
Itu kenyataan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengenai sokongan yang diberikan kepada pemain negara bukan di bawah naungan badan induk berkenaan.
Status pemain profesional bukan sesuatu yang baru di Malaysia, malah ada dalam kalangan mereka yang pernah mewakili BAM tetapi mengambil keputusan untuk berubah haluan demi mencari peluang yang lebih banyak.
Demi menjaga kepentingan pemain negara, BAM pernah mengetatkan syarat buat pemain profesional yang ingin menyertai pertandingan kelas utama antarabangsa.
Namun, susulan persembahan cemerlang Liew Daren dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, China, Norza berpandangan perlu ada sedikit kelonggaran terhadap syarat yang telah ditetapkan.
"Sekiranya Daren perlukan bantuan, mungkin ingin bersama BAM untuk memperkuatkan kedudukan, dia sentiasa dialu-alukan.
"Dalam masa sama, kami akan cuba melonggarkan syarat. Tidak adil jika kami tidak memberikan ruang buat pemain-pemain yang keluar daripada BAM. Kami telah membawa sedikit perubahan dan memaklumkan kelab tentang syarat yang dilonggarkan itu," kata Norza.
Selain Daren, antara pemain profesional lain yang aktif ketika ini adalah Chong Wei Feng, Arif Latiff dan Azryn Ayub.
Arif dan Azryn sebelum ini dipanggil semula menyertai BAM, namun digugurkan sebelum tamat tempoh percubaan mereka.
#“Badminton” #“Datuk #“BAM” #Norza #Zakaria” #Seri #“Profesional”
;